Friday, 31 January 2014

Apabila hati sudah menjadi bersih, maka hati akan menyinarkan cahayanya. Cahaya hati ini dinamakan Nur Qalbu. Ia akan menerangi akal lalu akal dapat memikirkan dan merenungi tentang hal-hal ketuhanan yang menguasai alam dan juga dirinya sendiri. Renungan akal terhadap dirinya sendiri membuatnya menyedari akan perjalanan hal-hal ketuhanan yang menguasai dirinya. Kesedaran ini membuatnya merasakan betapa hampirnya Allah s.w.t dengannya. Lahirlah di dalam hati nuraninya perasaan bahawa Allah s.w.t hadir bersamanya. Allah s.w.t meliputi akan kehadirannya, meliputi segala gerak-gerinya, meliputi pendengaran dan pertuturannya dan meliputi hatinya. Jadilah dia seorang yang hilang dirinya dan mengetahui ketiadaan dirinya yang disangka selama ini ada.
Mereka akan meningkatlah kekuatan rohaninya, menyerahkan urusan kehidupannya kepada Allah s.w.t. Dia tidak lagi khuatir terhadap sesuatu yang menimpanya, walaupun bala yang besar. Dia tidak lagi meletakkan pergantungan kepada sesama makhluk. Hatinya telah teguh dengan perasaan reda terhadap apa jua yang ditentukan Allah s.w.t untuknya. Bala tidak lagi menggugat imannya dan nikmat tidak lagi menggelincirkannya. Baginya bala dan nikmat adalah sama kerana dia mengetahui sesungguhnya dirinya tidak pernah ada.

No comments:

Post a Comment

Total Pageviews